
Adakah dakwah Islam telah sampai ke bumi Sarawak? Apabila penghinaan terhadap Islam datang dari sebuah bumi yang bernama Sarawak, satu persoalan yang perlu dijawab adalah, adakah umat Islam di Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya telah berusaha membumikan Islam di bumi Sarawak? Jika tidak, maka memang wajarlah anak-anak kecil di Sarawak memperlekehkan Islam. Saya memperingatkan diri saya, jangan simpan Islam itu untuk diri sendiri sahaja, tetapi kongsikanlah keindahan Islam ini juga kepada orang lain, kerana ‘ISLAM UNTUK SEMUA’. Agama Islam itu juga adalah untuk dikongsikan bersama anak-anak kecil bukan Islam di SMK St. Augustine, Betong, Sarawak. Wajarkah anak-anak bukan Islam yang menghina Islam ini didakwa, sedangkan umat Islam sendiri tidak pernah ‘mendakwah’ mereka dengan komited? Adakah sama Sarawak dan Semenanjung Malaysia? Adakah sama orang yang mengetahui dan yang tidak mengetahui? Kita belum pernah memberi mereka peluang melihat keindahan Islam sebenar, lantaran keindahan Islam yang terhijab oleh ummatnya sendiri. Suatu muhasabah untuk diriku.. Penghinaan terhadap Islam ini perlu menjadi suatu ingatan kepada umat Islam agar memasang niat, bahawa suatu hari nanti, kita akan ‘BUKA’ Negeri Sarawak, kerana kita begitu sayang kepada penduduk Bumi Kenyalang itu. Mudah-mudahan suatu hati nanti, dari sulbi dan keturunan-keturunan mereka ini, akan lahir generasi-generasi umat yang sujud menyembah dan mentauhidkan Allah yang menjadikan batang tubuh mereka dan alam semesta ini.
PENGAJARAN DARI SIRAH: THUMAMAH BIN UTHAL VS BUDAK SEKOLAH ST AUGUSTINE
Berlaku suatu peristiwa dari sirah Rasulullah SAW yang mulia, seorang musyrik bernama Thumamah Bin Uthal yang berazam untuk pergi membunuh Rasulullah SAW yang mulia, tetapi berjaya ditangkap oleh tentera Rasulullah, lalu dihadapkan kepada Rasulullah SAW. Apakah tindakan Rasulullah SAW terhadap Thumamah Bin Uthal ini? Para sahabat Rasulullah SAW tidak sabar hendak membunuh sang Thumamah ini, tetapi ditegah oleh Rasulullah SAW. Dipendekkan cerita, lantas Rasulullah melayan Thumamah dengan baik, dan Rasulullah pergi ke bilik isteri baginda lantas memerintahkan kepada isteri baginda ‘Kumpulkanlah makanan yang enak-enak dan berikanlah kepada Thumamah’. Baginda turut memerintahkan penjaga unta baginda agar memerah susu unta dari perut unta baginda sendiri untuk dihidangkan kepada Thumamah Bin Uthal setiap hari ketika dia berada di dalam tahanan Islam. Baginda juga telah menempatkan Thumamah di tiang tengah Masjid Nabawi dengan ditambat. Di masjid itulah Thumamah melihat para sahabat Rasulullah SAW penuh dalam masjid kerana beribadah, berzikir, mengerjakan solat, membaca al-qur’an dan beriktikaf dari awal malam sehinggalah ke subuh. Thumamah telah melihat suatu pemandangan yang amat mengagumkan hatinya. Hari demi hari silih berganti, selama 3 hari, akhirnya hati Thumamah terpikat kepada keindahan Islam, dan akhirnya mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah SAW yang mulia. Sebagai iktibar, marilah kita menarik nafas keinsafan panjang-panjang sambil berkata ‘aku perlu memperlihatkan keindahan Islam kepada orang bukan Islam kerana sesungguhnya ‘ISLAM ITU INDAH’.
Sebagai umat Islam, kita tidak boleh berdiam diri sahaja melihat ajaran Islam diperlekeh.
SIAPA YANG PERLU JADI ‘DEFEND’ KEPADA ‘TIANG GOL’ ISLAM?
Umat Islam di Malaysia rata-ratanya cukup ‘tercabar dan terpukul’ sehingga merasa ingin ‘mencabar dan memukul’ kembali budak sekolah berkenaan. Umat Islam ibarat api yang berada di dalam sekam, jika darjat agama ini dikurangi atau dicabar walau sedikit, maka nantikan tindakbalas yang ‘wajib’ akan muncul. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh berdiam diri sahaja melihat ajaran Islam diperlekeh. Tanggungjawab mempertahankan Islam itu ‘fardhu ain’ terpikul di atas bahu-bahu dan pundak setiap umat Islam. Jika bukan umat Islam sendiri bangkit mempertahankan ajaran Islam, apakah kita mengharapkan orang bukan Islam bangkit mempertahankan Islam ini? Adakah kita akan mengharapkan Chandra Muzaffar bangkit mempertahankan Islam daripada dihina? Adakah kita akan mengharapkan George Bernard Shaw bangkit mempertahankan Islam daripada diperlekeh? Apakah kita akan mengharapkan Profesor Tejatat Tejasen, yang baru ‘kembali’ semula kepada Islam untuk bangkit mempertahankan Islam? Adakah kita akan mengharapkan Micheal H. Hart bangkit mempertahankan Islam? Di mana suara dan tindakan umat Islam? Apakah kita akan mengharapkan Syeikh Ahmad Yassin bangkit semula dari pembaringan syahidnya untuk menyampaikan tasyji’ jihad mencabar umat Islam bangkit mempertahankan Islam? Jawapannya sudah tentu ‘tidak!’. Kita mengharapkan umat Islam yang masih hidup di atas muka bumi ini sendiri bangkit mempertahankan Islam. Memang wajarlah orang bukan Islam hari ini bangkit menghina Islam, kerana umat Islam sendiri tidak bangkit mengamalkan Islam, apatah lagi mempertahankannya, jauh sekali untuk menyebarkan dan meninggikan kalimahnya. Jawapannya ringkas ‘Jangan sekali-kali sumbu jihad terpadam dari jiwa-jiwa umat Islam, kerana jihad itu adalah salah satu prinsip dan asas binaan Islam’.
SOLAT DARI PERSPEKTIF SEORANG MU’MIN, ASTORA JABAT DAN AMINAH WADUD
‘Bainal kufri wal iman, tarkus solah’... Pembeza iman dan kufur itu adalah mengerjakan solat. Suatu yang menyindir diriku, adalah yang mengerjakan solat berjemaah di dalam youtube berkenaan adalah orang yang kufur. Mana mungkin ini berlaku!! Rasulullah SAW bersabda, bahawa yang menjadi pembeza iman dan kufur itu adalah mengerjakan solat. Tetapi inilah yang berlaku. Ramai umat Islam yang tidak lagi ingin mengerjakan solat, akibatnya.. orang yang kafir membantu umat Islam untuk ‘mengerjakan’ solat.. Slot muhasabah, jangan biarkan orang kafir ‘mengerjakan’ solat. Sebaliknya ‘solatlah sebelum orang kafir ‘bersolat’ bagi pihak kita’.. Adakah ia adalah suatu peringatan yang diturunkan oleh Allah kepada umat Islam agar mengerjakan solat? Sekiranya kita berfikir seperti Astora Jabat berfikir, maka kita akan menjawab ‘Peristiwa ini sekadar fenomena alam’. Sekiranya kita berfikir seperti Aminah Wadud berfikir, maka kita akan menjawab ‘Orang perempuan pun boleh jadi imam solat jumaat’. Tetapi sekiranya kita berfikir dari dalam lubuk hati seorang mukmin yang jernih, maka hati kecil kita akan menjawab ‘Ia adalah peringatan dari Tuhan semesta alam supaya jagalah ibadah solat dengan sebaik-baiknya’. Apabila menyentuh tentang perkara solat, umat Islam tidak boleh melupai pengorbanan Rasulullah SAW untuk ummatnya. Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, ketika pertama kali menerima perintah solat, Rasulullah SAW turun naik menghadap Allah sebanyak 9 kali untuk mendapat keringanan ibadah solat terhadap umat Islam. Ketika hampir wafat, dua patah perkataan yang tidak lekang dari bibir Rasulullah walaupun sedang sakaratul-maut adalah SOLAT dan UMAT. Betapa bernilai dan berharganya pekerjaan yang bernama ‘solat’ ini untukmu wahai Rasulullah...
DARI LUBUK HATI SEORANG ISLAM
Kesimpulan kepada analisis ringkas ini, sebagai seorang Islam, youtube ‘ajukan solat berjemaah pelajar SMK St Augustine, Betong, Sarawak’ sudah semestinya menimbulkan rasa kurang senang. Lubuk hati menangis dalam diam melihat fiqh ibadah terbesar Islam ini diperlekeh sedemikian. Sumbu boleh bertukar menjadi bara dan bara boleh menjadi marak jika penghinaan ini tidak diberi titik noktah. Oleh itu, janganlah sarang tebuan ini hendak dijolok jika tidak ingin berhadapan sengatannya. Janganlah jejaskan perpaduan dan keamanan negara yang telah lama dikecapi bersama ini. Islam tidak pernah mengajar umatnya menghina agama lain, dan demikian juga, agama lain tidak pernah mengajar penganutnya menghina agama-agama yang lain.. Dalamilah agama, kerana di dalam kajian terhadap agama yang ikhlas itu akan ada jalan yang menunjuki kepada kebenaran yang sebenar...
MUHAJIRIH BIN AHMAD, 6 NOVEMBER 2009.
0 komen:
Post a Comment