Friday, November 20, 2009

TANGGUNGJAWAB MENCEGAH KEMUNGKARAN

PUSAT ISLAM UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

TEKS KHUTBAH JUMAAT INI TELAH DISAMPAIKAN OLEH USTAZ ABDUL HAFIZ BIN HJ ABDULLAH, PENOLONG PENGARAH PUSAT ISLAM UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA PADA 25 ZULKAEDAH 1430H/13 NOVEMBER 2009M DI MASJID SULTAN ISMAIL UTM SKUDAI, JOHOR.

Mencegah mungkar, maksiat dan dosa merupakan satu kewajipan yang ditentukan oleh Islam. Tidak gugur kewajipan itu bagi mereka yang dapat melaksanakannya semata-mata kerana takut kehilangan nama, pengaruh atau keistimewaan mereka. Kewajipan ini sebenarnya berat, tetapi mulia, dan tidak mungkin sebarang orang dapat melaksanakannya, hanya orang-orang yang mempunyai kekuatan dan keberanian jiwa sahajalah yang dapat bertindak demikian. Berani berkata benar, berani menunjukkan yang salah walau kepada sesiapa pun, juga tidak takut dicela atau ditempelak oleh manusia dalam usaha menegakkan suatu yang benar dan melenyapkan suatu yang salah. Bagi mereka kebaikan dalam hidup ialah apabila yang benar dapat diperkatakan dan ditegakkan manakala yang batil dapat dihapuskan. Firman Allah S.WT yang bermaksud : 'Dan katakanlah, telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah yang salah, sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap'. (Al-Isra', 17: 81).

Sidang muslimin yang dirahmati Allah, Tugas kita sebagai seorang muslim di bumi ini ialah memenangkan kebenaran di atas kebatilan, kema‘rufan di atas kemungkaran, kebaikan di atas kejahatan,digelar oleh Allah S.W.T sebagai umat yang terbaik melalui firmanNya yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah”. (Ali ‘Imran, 3: 110).

Sidang Juma‘at yang diredai Allah, Suatu hakikat yang harus difahami oleh kita sabagai umat Islam ialah kita mestilah mengenal hakikat diri kita dan menyedari bahawa kita dilahirkan adalah untuk menjadi pemimpin umat manusia, ini seperti tercatat dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh kepada ma'ruf serta mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung”. (Ali ‘Imran, 3: 104). Prof. Dr. HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar menjelaskan pentafsiran ayat tadi, katanya: “Dengan adanya amar ma‘ruf, kemungkaran dapat dibendung dan yang ma‘ruf dapat dialirkan terus, sehingga umat Islam menjadi pelopor kebajikan di dunia ini”. Sayyid al-Imam Rashid Rida dalam Tafsir al-Manar mengatakan bahawa: “amar ma‘ruf dan nahi munkar dapat menjaga tautan jama‘ah dan tuntunan penyatuan”. Daripada pentafsiran Rashid Rida tadi dapatlah difahami bahawa berlaku perpecahan dan tidak ada penyatuan/ perpaduan dalam masyarakat kita hari ini adalah kerana kita tidak menjalankan tugas amar ma‘ruf dan nahi munkar .

Sidang Juma‘at yang dikasihi Allah, Menyatakan kebenaran itu benar dan yang salah itu tetap salah merupakan satu perkara yang amat sukar dan pahit tetapi wajar dan perlu dilakukan demi kebaikan umat manusia seluruhnya. Ini menjadi satu jihad dan perjuangan yang tidak akan habis-habis sehinggalah tibanya ajal atau mati ke atas diri seseorang.

Sidang Juma‘at yang dimuliakan Allah, Kemungkaran itu ialah suatu yang diingkar oleh syarak atau yang tidak disukai seperti meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram secara terbuka atau tersembunyi. Kewajipan mencegah dan mengubah mungkar adalah ke atas mereka yang melihat kemungkaran itu berlaku, termasuk dalam erti melihat ialah mengetahui secara pasti akan kemungkaran itu berlaku pada tempat tertentu, seperti penyalahguanaan pusat-pusat hiburan dan lain-lain. Betapa beratnya tanggungjawab mencegah dalam perkara-perkara mungkar sehingga dijelaskan akibat yang akan berlaku sekiranya perkara-perkara maksiat itu dibiarkan secara bebas. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: “Daripada Mujahid, beliau berkata: telah dikhabarkan kepadaku oleh hambaku bahawa beliau telah mendengar ‘Addi berkata: aku telah mendengar bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: sesungguhnya Allah tidak menyeksa orang ramai dengan perbuatan orang-orang yang tertentu sehingga mereka itu melihat mungkar itu berlaku di hadapan mereka, sedang mereka berkuasa untuk mengingkarinya tetapi mereka tidak mahu mengingkarinya apabila berlaku yang demikian itu, maka Allah menyeksa orang yang tertentu dan orang ramai”.

Sidang muslimin yang dirahmati Allah, Membiarkan perkara munkar dan maksiat berleluasa tanpa ada sebarang ikhtiar untuk mengekang dan membendungnya, wal hal kita mampu menegah dan mencegahnya, hal ini juga menyebabkan kemurkaan Allah serta penurunan azab dariNya, ini digambarkan dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang membawa maksud: “Daripada Ubaydillah bin Jarir, daripada bapanya, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: tidaklah sesuatu kaum melakukan maksiat, sedangkan terdapat di kalangan mereka orang-orang yang mulia dan mampu menegah serta mengubahnnya, tetapi mereka tidak menegah dan mengubah, nescaya Allah akan timpakan azab secara menyeluruh kepada mereka”. (H.R Ahmad)

Sidang Juma‘at yang diberkati Allah, Kita dapat mengubah atau mencegah kemungkaran dan maksiat melalui tiga cara: Pertama: Mengubah dengan tangan, iaitu dengan kekuatan atau kekuasaan. Kedua: Mengubah dengan lidah. Ketiga: Mengubah dengan hati, pengubahan terhadap perbuatan mungkar menerusi hati adalah tanda selemah-lemah iman. Ketiga-tiga cara mencegah kemungkaran ini telah dijelaskan oleh Rasulullah melalui sabda baginda S.A.W bermaksud: “Sesiapa diantara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika ia tidak mampu juga maka hendaklah ia mengubahnya dengan hati dan yang demikian adalah selemah-lemah iman”. Jika tidak ada sedikitpun di dalam hati seseorang perasaan benci terhadap kemungkaran mengikut apa yang telah disabdakan oleh baginda Rasulullah S.A.W tadi, maka itu adalah alamat seseorang itu telah tiada imam.

Sidang Juma‘at yang diredai Allah, Dewasa ini kita dapati ada dua keadaan mungkar dan maksiat yang berlaku dalam masyarakat iaitu:

1. Perbuatan mungkar yang dilakukan secara senyap-senyap atau sembunyi seperti yang biasa dilakukan oleh pemegang amanah di pelbagai peringkat, contohnya amalan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah. Begitu juga perkara mungkar yang dilakukan oleh orang-orang atau kumpulan-kumpulan yang berselindung disebalik label halal, sepertimana berlaku di rumah-rumah urut, pusat-pusat membeli belah atau di rumah-rumah dan pusat hiburan.
2. Perbuatan mungkar yang dilakukan secara terang dan nyata. Seperti mendedah dan membuka aurat, hisap dadah, minum arak, judi dan nombor ekor. Kita dapat melihat perkara-perkara mungkar yang dilakukan secara terang-terangan oleh muda mudi hari ini, antaranya ialah budaya 'couple' yang mana mereka dengan tidak segan silu duduk berdua-duaan di tempat-tempat sunyi sehingga lewat malam dan juga membonceng motorsikal mengalahkan pasangan suami isteri.

Walaubagaimanapun, ketahuilah sesungguhnya perbuatan mungkar yang dilakukan secara terang-terang adalah lebih merbahaya, keji dan amat buruk akibatnya kerana: 1. Orang yang melakukannya sanggup melanggar syariat dan hukum Allah S.W.T secara terang-terang di khalayak ramai. 2. Kerana degil, angkuh dan sombong memberanikan diri melanggar perintah Allah S.W.T. 3. Mempengaruhi masyarakat yang cetek imannya akibat daripada tersebarnya perbuatan mungkar. 4. Lebih keji lagi apabila orang yang melihat atau orang yang mengetahui kejadiannya benar-benar berlaku tetapi tidak berani mencegahnya.

Saudara-saudara Muslimin, Kesimpulannya, agama Islam tidak mengizinkan sama sekali perbuatan mungkar dibiarkan tanpa cegahan oleh setiap muslim yang mengakui beriman kepada Allah S.W.T dan RasulNya. Oleh itu, marilah kita melaksanakan amanah Allah di muka bumi ini dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan larangannya. Disamping itu gunalah kuasa dan kemudahan yang ada pada kita demi untuk meninggikan dan memartabatkan hukum Allah di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Mudah-mudahan Allah S.W.T sentiasa memberi taufik hidayah dan ‘inayahNya. Marilah sama-sama kita menjadikan tugas amar ma‘ruf dan nahi munkar sebagai tugas harian yang dilakukan untuk kebaikan kita bersama dan bagi membina umat yang hidup berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.